Monday 30 July 2012

ROTAN


Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?

"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysiabaru-baru ini.
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.

6 comments:

  1. rotan kalau zaman kita belajar dulu itulah salah satu alat untuk mendidik kita. tapi zaman sekarang pelajar tak takut pun kalau kena rotan.zaman sekarang pelajar lebih kepada psikologi.masalah tingkahlaku yang dibuat oleh pelajar kadang-kadang tu sebab nakkan perhatian dari guru atau orang sekeliling.

    ReplyDelete
  2. kalau dibandingkan dulu dan sekarang memang jauh bezanya. dulu tengok cikgu bawa rotan masuk kelas saje sudah cukup buat kita kecut perut.tapi hari ini, rotan jadi isu pula di sekolah. kalau kena anak kena rotan, habis la cikgu kena jawab.jadi tepuk dada tanya selera macam mana nak lahirkan pelajar-pelajar yang berdisiplin dan berkualiti.

    ReplyDelete
  3. Hukuman rotan merupakan hukuman yang menjadi isu yang hangat diperdebatkan di negara kita. Hukuman merotan pernah dilaksanakan dahulu sebelum dan selepas merdeka. Pelajar dirotan di bilik petugas/guru besar. Pelajar juga dirotan di khalayak ramai. Namun, kini kita mesti mengkaji secara halus sama ada sesuai atau tidak melaksanakan hukuman tersebut atau ianya perlu diubahsuai mengikut kesesuaian.

    ReplyDelete
  4. Jika kita lihat apabila isu rotan ini dipaparkan di dada akhbar banyak persoalan yang akan terlintas di kepala masing-masing. Pada pendapat saya ia wajar dilaksanakan pada maa kini. Walaubagaimanapun hukuman rotan ini perlulah dijalankan mengikut prosedur yang betul. Ia tidak boleh dikenakan kepada murid secara melulu tanpa usul periksa. Kadangkala juga hukuman rotan ini tidak membawa kesan kepada murid-murid. Ada diantara mereka yang sudah lali di rotan oleh ibu bapa di rumah. Jadi hukuman rotan di sekolah seolah-olah sudah biasa pada mereka. Sebagai warga pendidik kitalah yang berperanan dalam memberi hukuman yang sesuai dengan anak murid kita. Kadang kala kita perlu selidiki terlebih dahulu mengapa mereka bertindak sedemikian contohnya melanggar disiplin dan membuat tingkahlaku yang bermasalah. Kita harus menggunakan pendekatan yang sesuai dan memberi kesan terhadap perubahan tingkahlaku murid. Sebenarnya pelbagai pendekatan kita boleh laksanakan untuk menghukum murid-murid bukan hanya dengan cara merotan sahaja. Guru-guru perlu mempunyai kemahiran persuasif(memujuk) yang bekesan. Ini kerana sekiranya guru-guru mempunyai kemahiran persuasif yangb berkesan ia dapat mempengaruhi perubahan tingkahlaku murid dan dapat menjadikan murid-murid menaruh kepercayaan kepada guru untuk berbincang tentang masalah yang dihadapi oleh mereka. Selain itu juga pihak sekolah boleh menggunakan sistem merit dan dimerit,berdasarkan pengalaman saya menjadi GSTT sistem ini memberi kesan dalam mengawal tingkahlaku bermasalah murid-murid.
    Penggunaan Sistem Merit Demerit
    Sistem Pengurusan Disiplin (SPD) atau Sistem Merit Demerit berkait rapat dengan Sistem Maklumat Murid Berkomputer (SMM). SMM bertujuan untuk merekod kesalahan (demerit) dan sumbangan (merit) murid. Setiap pelanggaran disiplin ada markahnya begitu juga dengan sumbangan. Semua pengiraan markah dan analisis dilakukan oleh komputer. ( Lampiran 1)
    Strategi Perlaksanaan:
    1. Setiap pelajar akan diberi 100 markah / poin sebagai permulaan pada awal tahun.
    2. Setiap guru berhak menolak atau menambahkan poin merit pelajar mengikut wajaran yang sesuai tetapi tindakan tersebut haruslah dimaklumkan kepada pelajar berkenaan.
    3. Pelajar boleh berjumpa dengan mana-mana guru untuk melakukan kerja-kerja amal dan poin merit boleh diberi oleh guru tersebut ( maksimum 5 poin ). Pelajar tidak berhak meminta poin atas kerja amal yang dilakukan.
    4. Kerja-kerja amal boleh dilakukan oleh pelajar pada hari Sabtu atau hari-hari lain di luar waktu pengajaran dan pembelajaran dengan seliaan guru.
    5. Slip SMD boleh diperolehi daripada guru disiplin atau di kotak SMD dalam bilik guru.
    6. Slip yang telah diisi dan ditandatangani oleh guru berkenaan mesti dimasukkan ke dalam peti / kotak mengikut tingkatan yang diletak di bilik guru pada hujung minggu persekolahan atau selewat-lewatnya pada setiap hujung bulan.
    7. Bagi kes-kes disiplin yang poin SMD melebihi -10, perlu dikenakan tindakan disiplin oleh guru disiplin.Guru perlu mengisi slip SMD dan menyerahkannya kepada guru disiplin untuk tindakan selanjutnya. Guru disiplin akan melengkapkan slip dengan menulis poin yang wajar ditolak dan dimasukkan ke dalam kotak SMD.
    8. Penyelaras tingkatan akan mengumpulkan borang tersebut dan mengasingkannya mengikut kelas dan menyerahkan slip tersebut kepada Setiausaha SMD.
    9. Setiausaha SMD akan memasukkan poin pelajar ke dalam komputer.
    10. Dua salinan senarai nama mengikut kelas dan poin SMD yang terkini akan diberikan kepada Penyelaras tingkatan ( salinan kepada penyelaras tingkatan dan guru tingkatan ).
    11. Satu salinan poin terkini akan dipamerkan di papan kenyataan pada 5hb setiap bulan supaya pelajar tahu akan kedudukan / poin terkini masing-masing.
    Keberkesanan sistem ini jelas terbukti dengan penurunan kes disiplin yang begitu mendadak, walaupun baru setahun sistem ini dilaksanakan. Terdapat juga beberapa organisasi lain yang telah berjaya melaksanakan sisiten seumpama ini

    ReplyDelete
  5. Saban hari, kita sering didedahkan dengan pelbagai masalah disiplin pelajar di sekolah.Guru-guru berperanan penting dalam menangani dan mengawal masalah ini di sekolah. Pelbagai hukuman yang diambil oleh guru-guru, antaranya mengenakan hukuman rotan. Hukuman rotan merujuk kepada denda yang dilaksanakan di sekolah iaitu menyebat pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Antara kesalahan yang dianggap melanggar peraturan sekolah termasuklah merokok, ponteng, bergaduh serta merosakkan harta benda sekolah.
    Hukuman rotan merupakan hukuman yang menjadi isu yang hangat diperdebatkan di negara kita. Hukuman merotan pernah dilaksanakan dahulu sebelum dan selepas merdeka. Pelajar dirotan di bilik guru besara atau di khalayak ramai. Namun, kini kita mesti mengkaji secara halus sama ada sesuai atau tidak melaksanakan hukuman tersebut atau ianya perlu diubahsuai mengikut kesesuaian. Mengikut Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, hukuman rotan hanya boleh dikenakan kepada pelajar lelaki sahaja. Pelajar perempuan tidak boleh dikenakan hukuman merotan. Wajarkah ketetapan yang termaktub di dalam peraturan ini?
    Dalam Islam, merotan bukanlah dianggap sebagai hukuman tetapi merupakan satu cara dan kaedah pendidikan atau di sebut ‘at-tarbiayyah’. Walau bagaimanapun, merujuk beberapa sumber yang diperolehi, ada cara yang tertentu yang boleh digunapakai dalam melaksanakan hukuman rotan yang mungkin memberi kesan atau impak yang positif. Antaranya, termasuklah merotan hanya apabila nasihat yang diberikan tidak lagi diendahkan. Selain itu, kita diingatkan supaya tidak merotan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti muka, kepala, dada serta perut dan yang paling penting ialah kita diingatkan supaya tidak mengenakan hukuman rotan ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur 10 tahun. Di samping itu, hukuman rotan juga tidak boleh dilakukan dengan menggunakan alat yang boleh memudaratkan pelajar.

    ~radiah ismail~

    ReplyDelete
  6. Dahulu hukuman rotan amat berkesan untuk mengawal disiplin pelajar, namun hari ini hukuman rotan hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh pelajar-pelajar. Kalau dahulu kita cukup gerun apabila melihat guru disiplin meronda kawasan sekolah dengan membawa rotan, tetapi sekarang pelajar-pelajar tidak lagi takut akan hukuman tersebut. sebenarnya, hukuman rotan amat diperlukan untuk mengawal disiplin pelajar-pelajar sekolah tetapi mengikut prosedur yang dibenarkan. Ibu bapa juga seharusnya tidak menyalahkan pihak sekolah seandainya anak mereka dirotan kerana kesalahan yang dilakukannya kerana ia merupakan satu proses untuk menyedarkan mereka akan kesalahan yang dilakukan. Namun berbeza dengan situasi hari ini di mana ibu bapa cukup marah jika anak mereka ‘disentuh’ oleh guru. Jadi, bagaimana guru ingin mendidik mereka sekiranya perkara yang salah tidak boleh ditegur tetapi hanya dapat dipandang. Jangan kerana terlalu sayangkan anak, kepala sendiri dipijak.

    ReplyDelete